BAGIAN 2


Ciri-ciri Raja Adil dalam Muqaddimah fī Intiẓām al-Waẓā’if al-Malik

Sebagai sebuah naskah mukhtaṣar yang berisi nasihat kepada Raja sebagai pemimpin dan pemegang kuasa, Muqaddimah fī Intiẓām mengandungi beberapa perkara, iaitu :

  1. Keutamaan ilmu,
  2. Alamat atau ciri-ciri raja yang adil,
  3. Bahaya perbuatan ẓālim,
  4. Balasan untuk Raja adil.

Muqaddimah fī Intiẓām, dibuka dengan penjelasan bahawa tujuan pendirian suatu kerajaan adalah untuk menegakkan keadilan.[81] Dan sebagaimana diketahui secara am, perbuatan menganiaya adalah salah satu perbuatan zalim yang amat berlawanan dengan sifat keadilan. Menganiaya diri sendiri, sudah menjadi satu bentuk ketidakadilan, apatah lagi ini dilakukan kepada ramai orang.

Seterusnya, bahagian pendahuluan ini juga menyatakan bahawa apabila raja berjaya dalam memegang amanah dan menegakkan keadilan, maka balasannya adalah sesuatu yang dalam perkataan Raja‘Alī Ḥāji adalah tidak dapat dibayangkan oleh deria manusia.[82] Akan tetapi, keadilan itu bukan sesuatu yang mudah untuk ditegakkan. Ianya dapat dimulakan apabila pemimpin itu memiliki ilmu.[83]

            Bersesuaian dengan tradisi penulisan ulama terdahulu, dalam karyanya,  Raja‘Alī Ḥāji sentiasa mengungkapkan kepentingan dan keutamaan ilmu.[84] Caragaya Raja‘Alī Ḥāji dalam membuka karya penulisannya dengan perkara kelebihan ilmu dan akal, jika dilihat daripada sisi intertekstual, memiliki banyak persamaan dengan Ḥujjat al-Islām al-Imām al-Ghazzāli dalam beberapa kitabnya. Hal ini dapat difahami sebagai isyarat bahawa dalam pemikiran beliau, untuk menuju keadilan, ilmu adalah satu-satunya pintu masuk. Hal inipun ditegaskan oleh al-Attas, yang menyatakan bahawa syarat utama untuk menegakkan keadilan itu adalah ilmu. Keadilan sebagai keadaan di mana sesuatu itu berada pada tempatnya sehingga mewujudkan suasana harmoni atau kesaksamaan, hanya boleh wujud dengan ilmu, kerana sifat ilmu sahajalah yang dapat tahu menempatkan masing-masing pada tempatnya yang wajar.[85]

Adapun perkara kedua yang dibincangkan dalam muqaddimah fī Intiẓām adalah alamat raja adil.[86] Seterusnya, perkara ketiga dalam naskah ini yang diambil berat oleh Raja‘Alī Ḥāji adalah bahaya daripada perbuatan zalim. Zalim adalah lawan daripada adil, sehingga untuk menegakkan keadilan, perlu pula diketahui perkara-perkara yang termasuk kriteria zalim yang patut dihindari oleh seorang raja, jika ia ingin menegakkan keadilan di dalam negerinya. Dalam teks Muqaddimah fī Intiẓām ini, dituliskan bahawa alamat raja zalim iaitu apabila di dalam kerajaan berlaku perkara jinayah yang tidak lagi mengenal hubungan keluarga dan kekerabatan serta apabila seisi negeri dilanda perseteruan. Perkara ini boleh berlaku apabila raja tidak memiliki kewibawaan dan kebijaksanaan yang memadai untuk menjaga negeri.[87] Ciri-ciri raja zalim pun dikuatkan dengan adanya tanda-tanda kesewenangan di mana raja berbuat sekehendaknya seperti tersurat dalam Thamarat al-Muhimmah.[88] Seterusnya, perseteruan dan perbalahan sebagai salah satu perbuatan zalim, dalam pandangan Raja‘Alī Ḥāji adalah pertanda awal bagi suatu kebinasaan.

Dari naskah Muqaddimah fī Intiẓām disimpulkan bahawa salah satu penyebab kezaliman seorang raja adalah ketidakmampuannya untuk memutuskan perkara secara bijaksana, membenarkan sesetengah dengan menyalahkan ke atas sesetengahnya yang belum tentu sabit kesalahannya, ataupun tidak memiliki kemampuan untuk mendengar dan memilah-milih persoalan yang datang ke hadapannya. Untuk itulah, dalam Thamarat al-Muhimmah Raja‘Alī Ḥāji meletakkan beberapa prasayarat bagi seorang calon raja, agar perkara sebegini tidak berlaku dalam kerajaan.[89] Manakala sebagai penjagaan daripada masalah ini, dalam Gurindam Dua Belas, Raja‘Alī Ḥāji telah menuliskan mengenai keharusan untuk berhati-hati dalam menerima setiap kabar mahupun aduan yang datang yakni pada fasal 3.2, 7.3, 7.7 dan 7.8.[90] Adapun perkara keempat yang dibincangkan dalam Muqaddimah fī Intiẓām adalah mengenai pembalasan bagi raja yang dapat memerintah negerinya secara adil, yakni yang terdapat pada bahagian pembukaan teks ini.

 

Jenis-jenis Keadilan Menurut Raja‘Alī Ḥāji

Daripada pembacaan terhadap ketiga teks yakni; Gurindam Dua Belas, Muqaddimah fī Intiẓām dan Thamarat al-Muhimmah, dapat diambil kesimpulan bahawa di dalamnya terkandung beberapa jenis keadilan yang kesemuanya tidak saling menafikan, iaitu; keadilan diri, keadilan hukum, keadilan politik dan keadilan sosial.

A. Keadilan diri

Dalam Islām, keadilan mencakup semua aspek kehidupan manusia. Ianya harus menjelma di dalam kehidupan individu, hukum, ekonomi, sosial-politik, budaya dan lainnya. Islām menekankan keadilan untuk diterapkan bermula daripada peringkat peribadi, sama ada zahir mahupun batin, sampai kepada tingkatan berbangsa dan bernegara sekalipun. Kandungan surah al-Mā’idah (5:8)[91], telah menjadikan keadilan sebagai prasyarat bagi ketaqwaan.

Allāh telah menganugerahkan akal kepada manusia yang dengan keunggulannya, manusia dapat mengatur hubungan antara sesama mereka, dengan alam sekeliling bahkan mengatur hubungan mereka dengan Dzat yang menciptakannya iaitu Tuhan Pencipta alam. Meski demikian, keunggulannya itu tidak semestinya membuatnya melampaui had-had SunnatuLlāh, kerana itu manusia yang arif dan adil, tidak akan menggunakan akal tanpa had, justeru ia akan menggunakannya sesuai dengan pemahamannya mengenai SunnatuLlāh[92], walaupun Allāh Subhanahu wa Ta‘ālā telah memberikan kebebasan untuk memilih di antara dua jalan.[93] Dengan demikian, adalah suatu kemustahilan jika orang yang benar-benar takut kepada Allāh dan beriman kepada-Nya, tidak berbuat adil. Al-‘Adl adalah salah satu daripada nama Allāh. Maka, dapat dikatakan bahawa berbuat adil merupakan perwujudan daripada ajaran tauhid dalam Islam[94] yang pelaksanaannya dijelmakan dengan bermula dari diri sendiri.

Kandungan asasi Gurindam Dua Belas sebagaimana telah dijelaskan pada bahagian sebelumnya, telah memberikan gambaran yang utuh mengenai keadilan diri sekali gus membayangkan suatu landasan metafizikal bagi bermulanya keadilan.  Adapun dalam Thamarat al-Muhimmah[95] Raja‘Alī Ḥāji menuliskan bahawa hati (qalbu) adalah punca keadilan diri. Dengan merujuk kepada karya al-Ghazzāli yakni Ihyā’‘Ulūm al-Dīn, beliau menyatakan bahawa tubuh manusia terbagi kepada dua bahagian, yang sifatnya zahir seperti anggota badan dan yang sifatnya halus (jisim latīf) iaitu ruh, qalbu(hati), nafs, dan akal.[96] Segala penyakit zahir boleh diubatkan oleh tabib dan lebih mudah untuk disembuhkan, adapun bagi penyakit jisim latīf, ubat yang diambil untuk penyembuhannya pun bersifat latīf (halus). Penyakit inipun jauh lebih berbahaya dari penyakit zahir kerana boleh membawa kepada kebinasaan bagi semua anggota badan zahir. Sebagaimana telah pula dituliskan oleh Raja‘Alī Ḥāji dalam butiran fasal 4 daripada Gurindam Dua Belas mengenai kedudukan hati sebagai penggerak dan punca kehidupan seorang insan, serta menjadi tempat di mana keadilan itu bermula.[97]

Seterusnya, dalam Thamarat al-Muhimmah, Raja‘Alī Ḥāji menjelaskan bahawa ubat yang bersifat latīf yang mampu menyembuhkan penyakit batiniah adalah ilmu iaitu ilmu yang benar yang bersumber daripada Qur’ān al-Azim serta hadith sayyidul mursalin dan kitab-kitab karangan ‘ulama’al-‘Āmilīn yakni para ulama muktabar yang telah diketahui kesahihannya. Selain dari itu, sikap redha, sabar dan tawakkal dalam kebajikan, adalah penyokong utama daripada kesihatan jisim latīf tersebut.[98]

Bahagian Khatimah daripada Thamarat al-Muhimmah pula menjelaskan perkara-perkara yang dapat memberi keburukan khasnya kepada raja dan para pembesar serta kepada semua orang secara amnya. Di dalamnya, Raja‘Alī Ḥāji menjelaskan empatbelas perkara yang boleh merosakkan keadilan diri, ya‘nī : Takbur, ghadab, al-ḥasad, ṭama‘, bakhīl, Mughaffal , isrāf, al-mazḥ, al-Kadhib, al-Jaz‘u,‘Ajalah, Taswīf, Lam yujzi’al-Khayr, dan lā yubāli (bi) al-Dīn.[99]

B. Keadilan Hukum

Berkait keadilan hukum, Islām membawa perkara yang belum pernah dikenal pada masa sebelumnya.[100] Dalam Islām, hukum atau undang-undang diberlakukan secara merata untuk semua, dengan tidak membezakan harta kekayaan, jantina, warna kulit, suku dan lainnya.[101] Adanya realiti bahawa setiap pemerintahan akan sentiasa berhadapan dengan masyarakat yang terdiri dari pelbagai kelompok dan lapisan yang juga memiliki pelbagai perbezaan, mengharuskan seseorang yang terpilih menjadi pemimpin untuk mampu berdiri bagi semua golongan.

Pemikiran Raja‘Alī Ḥāji mengenai keadilan hukum, sentiasa mengambil berat prinsip kesetaraan yakni bahawa semua orang tidak dikira daripada pangkat, jabatan, harta benda, asal-usul dan lainnya, memiliki darjah yang sama di hadapan hukum. Beliau menekankan bahawa tiada perbezaan di hadapan hukum sama ada ia seorang rakyat jelata ataupun orang dalam kerajaan. Raja‘Alī Ḥāji menyatakan:

“..jangan dilebihkan orang dalam dengan orang luar pada hukuman yang didirikan dan jangan menghukumkan melainkan diperiksa antara kedua fīhak…. dan jangan sekali kali diberikan ibu bapak sanak saudara menzalimī seorang daripada isi negeri. Apabila ada yang demikian itu wajib dilarangkan jikalau bapa atau ibu sekalipun..” (Muqaddimah fī Intiẓām,wazifah ketiga,ms.15)

Buah fikiran Raja‘Alī Ḥāji yang membayangkan keadilan hukum dan terdapat dalam beberapa petikan daripada naskah Muqaddimah fī Intiẓām dan Thamarat al-Muhimmah lainnya adalah mengenai ketetapan bahawa hukum yang diterapkan adalah shari‘at Islām. Raja‘Alī Ḥāji telah menegaskan dalam bahagian pembukaan daripada Muqaddimah fī Intiẓām dan Thamarat al-Muhimmah, Bab 3 fasal 3 bahawa dalam perkara menegakkan shari‘at Islām, mengikut konsep perundangan Islām, beliau meletakkan kuasa perundangan hanya di tangan Allāh semata kerana Islām tidak membenarkan manusia secara sewenang-wenang untuk turut campur dalam perkara yang telah ada ketetapannya menurut wahyu. Meskipun Raja‘Alī Ḥāji menganjurkan penggunaan adat resam yang telah ada dalam masyarakat, namun kaedah tersebut tertakluk kepada perakuan wahyu sebagaimana beliau dedahkan dalam Thamarat al-Muhimmah Bab 2 fasal 4 :

“Shahdan, jika terkena perkara yang bersalah-salahan itu kepada kanun dan adat, rujuklah kepada undang-undang atau kepada āthār ya‘nī bekas dan resam yang sudah dijalankan raja-raja dan orang besar-besar yang dahulu-dahulu, yang dibilangkan kepada indah dan patut dan ‘ādil dan inṣāf yang tiada melanggar kepada sharī‘at yang mulia. Dinamakan keputusan itu Ittifaq ahl al-Maḥkamah jua, sama ada kepada perolehan atau bahagian atau milik atau ḥaq atau kepada adāb atau kepada mustahaq, intaha. Dan jangan sekali-kali mengikutkan undang-undang yang menyalahi aturan sharī‘at dan merosakkan rukun ‘ādil”(Thamarat al-Muhimmah, Bab Kedua Fasal 4,  27-28)

Beliau meyakini, apabila prinsip perundangan Islām diterapkan, maka keadilan sebenar akan wujud. Dengan demikian, bagi Raja‘Alī Ḥāji, kuasa perundangan (judicative) yang terletak pada lembaga pengadilan dan kuasa pentadbiran (executive) yang ada di tangan raja serta para pembesar kerajaan, seluruhnya terikat dan tertakluk kepada shari‘at Islām.

Khas untuk pelaksanaan dan penerapan keadilan dalam mahkamah, Raja‘Alī Ḥāji menuliskan bahawa mahkamah memiliki tugasan yang teramat berat kerana wewenangnya berkait dengan hak dan kehidupan seseorang yang jika tersalah mengambil sebarang keputusan, akan mengakibatkan kemudharatan yang besar, bukan sahaja di dalam dunia ini, tetapi juga di akhirat kelak. Untuk itu, kaji ulang dan penyelidikan yang mendalam untuk setiap kes amat diperlukan. Para pemegang kuasa peradilan dan mahkamah juga digalakkan untuk sentiasa menuntut dan menambah ilmunya, serta tiada segan bertanya kepada ulama-ulama yang memiliki otoriti agar terhindar dari kesalahan dalam mengambil keputusan hukum. Kata Raja‘Alī Ḥāji :

“Mahkamah itu seolah-olah satu bahtera di lautan besar, dipukul ribut yang amat besar jika tiada baik-baik ahli bahtera itu membicarakannya, hampir tenggelam binasa dirinya di dalam dunyā dan di dalam akhirat, tiada lepas sekali-kali daripada yang tersebut itu, melainkan dengan takutkan Allāh Ta‘ālā serta ‘ādil dan siyāsat dan periksa habis-habis serta sabar serta takut dan kuat memegang dan mendirikan tiap-tiap hukuman yang sebenarnya. Serta berani jangan takut dan segan dicacat dan cela dan dikecilkan hati oleh orang yang berdakwa itu atau orang yang bodoh-bodoh sebab tiada menurutkan hawa nafsu.”(Thamarat al-Muhimmah, Bab 2, Fasal 2, 21)

“Maka iaitu haruslah dipakai wani kiranya hubaya-hubaya segala qadi-qadi dan orang besar-besar yang memegang hukuman hendaklah ia bersungguh-sungguh ṭalib al-‘ilm serta dengan rajin menelaah segala kitab-kitab fiqh serta rajin berulang-ulang kepada ‘ulamā’ yang rāshikīn memperiksai segala masalah yang mushkīl-mushkīl dan yang nādir-nādir ya‘nī yang jarang-jarang supaya jangan tersalah kepada menghukumkan manusia…..”(Thamarat al-Muhimmah, Bab 2, Fasal 5, 30)

Salah satu penerapan undang-undang yang teramat zalim dan dicontohkan Raja‘Alī Ḥāji serta berlaku pada masa itu dan masa-masa sebelum beliau adalah undang-undang ‘enggang lalu, baharu ranting patah’. Undang-undang ini mengandungi kezaliman yang luar biasa, kerana ianya boleh memberi kemudaratan kepada seseorang yang sebenarnya tidak bersalah, tetapi ia berada di tempat dan waktu yang salah (right man on the wrong place). Pelbagai hukuman dan bentuk-bentuk penyiksaan dalam undang-undang ini diungkapkan Raja‘Alī Ḥāji sebagai gambaran kezaliman yang luar biasa dan patut dihindari dalam menegakkan keadilan. Beliau menyatakan:

“Dan jangan sekali-kali mengikutkan undang-undang yang menyalahi aturan sharī‘at dan merosakkan rukun ‘ādil seperti setengah daripada negeri mendirikan satu undang-undang jika shubhah satu hukuman maka didirikannyalah undang-undang ya‘nī seperti menuduh seorang yang lalu pada satu tempat pada jalan raya, pada tempat itu ada kehilangan, maka tiada dapat saksi dan tiada ia ikrar, maka didirikan undang-undang di sini dengan nama dan perbahasaan baharu, enggang lalu, baharu ranting patah”(Thamarat al-Muhimmah, Bab 2, Fasal 4, 27-28)

C. Keadilan Politik

Keadilan politik adalah keadilan yang sesuai dengan kehendak pihak penguasa.[102] Kemampuan penguasa untuk dapat berlaku adil ataupun tidak, bergantung kepada apakah perundangan-undangan kerajaan mengandungi unsur-unsur keadilan atau justeru memaksakan suatu kepentingan tertentu yang bersifat peribadi.  Dengan demikian, kayu ukur keadilan politik adalah perundangan-undangan yang berlaku dalam kerajaan. Dalam kerajaan yang menerapkan sistem politik yang sekular, biasanya pihak berkuasalah yang menentukan apa-apa sahaja unsur keadilan yang akan terkandung dalam undang-undang, sehingga undang-undang seringkali terhasil daripada kekuatan-kekuatan yang berbeza dengan cita-cita agung dan tuntutan amanah sosial. Ianya lebih mewakili kepentingan dan kemauan peribadi penguasa sehingga keadilan politik tidak lebih menjadi alat sahaja.[103]

Berbeza dengan sistem di atas, dalam Islām keadilan politik berasal dari Allāh. Melalui nabi-Nya, Dia telah menentukan jalan kebenaran sehingga seorang penguasa (khalifah) yang terpilih, harus menjalankan kekuasaannya sesuai dengan ukuran keadilan yang termaktub di dalam wahyu (al-Qur’ān) dan hikmah Ilahiah (Sunnah).[104]

Dalam Islām, politik adalah menjaga urusan umat dengan cara yang tidak menyalahi shariat Islām. Politik merupakan salah satu bentuk penzahiran daripada perintah untuk menegakkan keadilan. Dengan demikian, politik amat berkait erat dengan upaya penegakkan hukum. Ibnu al-Qayyim mengutip Abu’l Wafa Ibnu Aqil, dalam kitab al-Turuq al-Hukmiyyah fī al-siyasah al-shar’iyyah menuliskan bahawa pemberlakuan al-siyasah al-shar’iyyah dalam suatu negara adalah suatu kemestian.[105] Seterusnya, Ibnu al-Qayyim berkata,”Politik yang adil tidak bertentangan dengan shari‘at, justeru politik yang demikian sesuai dengan ajaran yang terkandung di dalamnya. Dengan begitu, politik yang adil adalah sebahagian daripada shariat”.[106]

Politik (al-Siyasah) adalah ilmu dan kemahiran. Dinamakan ilmu kerana ianya mempunyai prinsip-prinsip dan disiplin-disiplin yang keseluruhannya membentuk ‘ilmu politik’. Dikatakan juga sebagai kemahiran kerana dalam pelaksanaannya, ia tidak terhad kepada pelaksanaan undang-undang yang bersifat teoritis dan penerapan kekuasaan semata, akan tetapi menuntut kepakaran tertentu yang diperoleh melalui pengalaman dan pengetahuan mengenai kaidah-kaidah praktikal tertentu.[107]

Sebagaimana telah dikemukakan pada bahagian sebelumnya, dalam menjalankan perannya sebagai penasihat kerajaan, Raja‘Alī Ḥāji menghendaki bahawa hukum yang berlaku dalam pentadbiran Kerajaan Riau-Lingga adalah hukum yang dishari‘atkan Islām. Kenyataan beliau dalam pembukaan Muqaddimah fī  Intiẓām dan Thamarat al-Muhimmah, Bab 3 fasal 3, menegaskan bahawa Qur’ān, Ḥadīth dan Ijmā‘ adalah sumber hukum yang berlaku dalam kerajaan, selain juga mempertimbangkan aspek keindahan, kepatutan serta kemanfaatan bagi maslahat umat, yang digali dari adat resam dan kebiasaan masyarakat setempat yang berlaku pada masa itu. Raja‘Alī Ḥāji pula memberikan had-had tertentu dalam menentukan ijtihād bagi perkara-perkara yang tidak ditemui dalam ketiga-tiga sumber tersebut dengan batasan yang beliau tuliskan dalam Thamarat al-Muhimmah, Bab 2, Fasal 5.

Masih pada bab dan fasal yang sama, Raja‘Alī Ḥāji menegaskan bahawa hukum yang dipakai dalam agama Islām adalah hukūm (sharī‘at) yang berasal daripada Qur’ān al-‘Aẓīm serta ḥadīth Nabi ṣallaLlāhu‘alayhi wa sallam serta yang sudah dijelaskan makna dan maksudnya, yang diperkasakan dengan ilmu naqli dan aqli dan qiyās yang jail daripada Ahl al-Sunnah wa al-Jamā‘ah yakni para Imām mujtahid al-muṭlaq iaitu Mālikī, Shafi‘ī, Ḥanafi dan Ḥanbalī.

Seterusnya, dalam upaya menerapkan prinsip keadilan dalam bidang politik dan pentadbiran kerajaan, Raja‘Alī Ḥāji juga telah menuliskan garis-garis besar panduan penyelenggaraan pentadbiran kerajaan. Sebagai seorang ulama, beliau sentiasa berupaya untuk memberikan kefahaman bahawa dalam Islām, kekuasaan adalah amanah Allāh. Kekuasaan itu diberikan oleh-Nya, kepada siapa yang Dia kehendaki. Namun, sebagai suatu amanah, kekuasaan bukanlah sesuatu yang boleh diguna secara sewenang-wenang. Amanah itu bahkan merupakan suatu ujian[108] bagi si penerima dan di situlah akalnya yang akan memainkan peranan yang penting. Dengan akalnya itu, seseorang boleh menjadi sama ada baik ataupun jahat.[109] Sebab itulah, dalam bahagian pembukaan (muqaddimah) Thamarat al-Muhimmah, Raja‘Alī Ḥāji mengambil berat perkara kelebihan ilmu. Maknanya, dengan ilmu itu, kekuasaan tidak akan diguna secara sewenang-wenang kerana dengan ilmu itu, jalan kebenaran akan dengan mudah ditemukan. Pada bahagian ini juga, Raja‘Alī Ḥāji menekankan bahaya-bahaya kejahilan akibat tidak berilmu, antaranya; tidak mengenal Allāh Ta‘ālā dan Rasul-Nya, mendustakan nabi-nabi, mengingkari kitab-kitab-Nya, mendustakan hari berbangkit dan pembalasan amalan baik mahupun buruk, tidak mengetahui hukum akal, hukum adat dan hukum shara’ bahkan tidak mengenal halal-haram, sah-batal, fardu-sunnah dan segala maksiat batin.[110] Untuk itulah, dalam bahagian penutup muqaddimah Thamarat al-Muhimmah, Raja‘Alī Ḥāji menyatakan bahawa bahaya kejahilan ini hanya boleh dilepaskan dengan ilmu.

Seterusnya, dalam Thamarat al-Muhimmah, tertulis secara terperinci fasal-fasal yang berkenaan dengan perkara pembagian dan pengagihan kekuasaan dalam struktur kerajaan.[111] Bagaimanapun, keadilan politik akan sangat berkait dengan bagaimana kekuasaan itu dibahagi, diamanatkan kepada pemegangnya serta dilaksanakan dalam kehidupan bernegara.

D. Keadilan Sosial

Secara am, keadilan sosial didefinisikan sebagai keadilan yang sesuai dengan norma dan nilai-nilai sosial di masyarakat, terlepas daripada nilai dan norma yang menjelma di dalam hukum. Berbeza dengan konsep-konsep ideal tentang keadilan, keadilan sosial terhasil daripada adat-istiadat dan pengalaman manusia. Ianya merupakan bahagian daripada keadilan distributif, yakni keadilan dalam pembahagian sumber-sumber kesejahteraan dengan berasaskan kepada jasa-jasa dan kerjaya yang telah diberikan oleh masing-masing orang.[112] Dengan demikian, keadilan sosial bukanlah diertikan sebagai menyamaratakan setiap orang dalam masyarakat seperti dalam kerajaan yang menerapkan asas sosialisme.

Islām menjaga kesetaraan umat di mata Allāh dan sekali gus melindungi martabat setiap umat manusia dalam kehidupan bersama.  Akan tetapi, kesetaraan di hadapan Allāh harus diwujudkan dalam kehidupan dan dijalankan melalui tatacara pembahagian kekayaan yang tidak hanya melindungi hak-hak peribadi tetapi juga menunaikan fungsi sosial sebagai gambaran solidariti dan penghormatan terhadap nilai kebersamaan yang menjadi tiang penyangga kehidupan umat.[113] Dalam Islam, upaya untuk menegakkan keadilan sosial mengandungi tujuan muktamad berupa pencapaian kesejahteraan di serata masyarakat. Namun perlu diingat bahawa kesejahteraan yang paling utama adalah kesejahteraan di akhirat nanti. Bagaimanapun,  kehidupan akhirat merupakan kelanjutan daripada kehidupan duniawi kerana pencapaian kesejahteraan duniawi akan dapat menghantarkan manusia kepada kesejahteraan ukhrawi.[114]

Berkait dengan perkara ini, tugasan utama sesebuah pemerintahan adalah menciptakan keadilan sosial dalam masyarakat.[115] Dan kerananya, keadilan sosial mempunyai kaitan secara langsung dengan keadilan hukum. Dapat dikatakan bahawa keadilan hukum akan membawa impak kepada terciptanya keadilan sosial. Keadilan sosial menunjukkan keadaan bahawa setiap individu di dalam  masyarakat, dapat hidup secara terhormat tanpa tekanan dan ancaman, sehingga ianya mampu untuk memanfaatkan kemampuan dan kekayaannya secara baik untuk hidup sejahtera.

Satu perkara yang perlu untuk difahami bahawa walaupun keadilan sosial sudah wujud di masyarakat, hal itu tidak terus menghilangkan kemiskinan di muka bumi. Dalam al-Qur’ān telah tersurat bahawa miskin dan kaya adalah suatu realiti yang tidak dapat dihindari dan sudah merupakan sunnatuLlāh.[116] Bagaimanapun, berasaskan kepada realiti ini, Raja‘Alī Ḥāji menuliskan nasehat dan arahan kepada raja dan pembesar istana, untuk mengambil berat perkara kesejahteraan bagi seluruh anak negeri. Raja‘Alī Ḥāji menghimbau agar raja mengambil peranan yang aktif bagi upaya mensejahterakan rakyat dengan segala daya upaya dan cara yang tepat. Beliau juga mengambil berat mengenai pemenuhan hak rakyat dan penerapannya mengikut kepada tuntunan al-Qur’ān dan sunnah nabi. Dengan jangkauan pemikiran yang tidak terhad hanya di alam dunia namun juga hingga ke alam akhirat, Raja‘Alī Ḥāji mengingatkan bahawa tugas utama para pentadbir negeri adalah memperhatikan kesejahteraan seluruh warganya, menolong mereka dengan segala bentuk upaya dan ikhtiar, memeliharakan dan menunaikan segala hak yang dipunyai seluruh anak negeri. Singkatnya, raja dan para pembesar negeri, memiliki kewajiban untuk mensejahterakan warga dan negerinya di atas jalan yang dishariatkan Allāh Subhanahu wa Ta‘ālā. Kata beliau dalam  Muqaddimah fī  Intiẓām wazifah yang ketiga:

“Hendaklah jaga kepada negeri dan kepada segala adik kakak dan hamba sahaya dan ra’yat sekalian hendaklah dijalankan segala hak merekaitu dengan jalan disuruhkan Allāh Ta‘ālā dan rasul-Nya dan pandanglah atas segala mereka itu dengan pandang shafa‘ah dan rahmat…..jangan lain yang dipikirka: n melainkan hendak mencari jalan kesenangan isi negeri yang didalam perintah paduka adinda sama ada jalan rizkinya itu….yang patut ditolong dengan harta, tolong dengan harta, yang patut ditolong dengan mulut, tolong dengan mulut dan yang patut ditolong dengan anggota, tolong dengan anggota….dan lagi setiap-tiap hari jangan lain yang dimushāwaratkan melainkan apa-apa yang jadi berguna kepada kerajaan dan lagi barang berapa yang dapat daripada hāsil-hāsil negeri, hendaklah dibahagi empat. Sebahagi dijadikan nafkah ahli-ahli dan sebahagi dijadikan membaikkan negeri dan sebahagi dijadikan hajat sendiri yang tidak sampai kepada sarafun ya’nī berlebihan. Dan yang sebahagi dijadikan amal yang dibawa ke akhirat adanya. (Wazifah ketiga, ms.15)

 

Oleh:  Ai Wardah Mardiah Koswiar, M. Phil – Alumni CASIS UTM

Makalah disampaikan pada forum diskusi yang diselenggarakan PIMPIN Bandung, 3 Januari 2016, disarikan dari tesis berjudul ‘Konsep Keadilan dan Pengamalannya di Kerajaan Riau-Lingga Abad ke-19 Menurut Raja‘Alī Ḥāji’

 

 

[81]   Bahagian daripada teks pembukaan itu adalah :“Bermula maksud kerajaan yang di kehendaki Allāh ṣubhānahu wa Ta‘ālā itu yaitu dua jalan, pertama memelihara akan segala hamba Allāh daripada jatuh menganiaya setengah atas setengahnya.”

[82]   Raja‘Alī Ḥāji menuliskan: “… di dalam akhirat dengan dipuaskan di dalam surga dengan beberapa makan makanan yang lezat dan minum minuman dan beberapa istri daripada ḥūru‘l’ayn dengan beberapa kesukaan dan permainan yang tiada pernah dilihat oleh mata dan tiada pernah didengar telinga.”

[83]   Kata Raja‘Alī Ḥāji: “….apabila paduka adinda hendak kenyataannya perkataan ini hendaklah silakanlah masuk kepada pintunya yaitu thālab al‘ilmi pada satu waktu adanya.”

[84]   Lihat Khalif Muammar,  “Ketatanegaraan Alam Melayu”, 85

[85]   S. M. N.  al-Attas, Risalah Untuk Kaum Muslimin, 141

[86]   Sebelum kajian ini bermula, alamat atau sifat-sifat raja adil  dalam historiografi Melayu, telah dikaji oleh Tatiana Denisova. Adapun alamat atau kriteria raja adil secara am dalam kajian beliau antaranya mencakup rupa yang baik, suara yang hebat, budi dan adab yang baik-baik, bahasa yang ikhlas, berani, pahlawan, pemurah, sabar, bijaksana, sederhana, rendah hati, dan asal-usul yang murni. Pandai dalam ilmu ushul al-Dīn, fiqh, ilmu tentara, perniagaan, pemerintahan negara dan perundingan. Memerintah negeri dengan adil, menghukum secara adil, mengikut undang-undang, mengampunkan dosa, bermusyawarah dan muwafakat dengan orang alim, memelihara negeri, mengukuhkan negeri, memelihara rakyat dan semua isi negara, mengawal negeri, membanyakkan negeri, membaiki negeri, memelihara harta benda orang, membenci orang jahat, meramaikan perniagaan, mengaturkan rejeki, mengaturkan orang-orang besar, menegah orang-orang besar supaya tidak berbuat jahat terhadap rakyat, jangan tamak akan harta orang dan jangan tamak akan harta dunia. Dalam bidang agama, raja adil wajib mentaati Allāh ṣubhānahu wa Ta‘ālā, mengikut sabda Nabi ṣallaLlāhu ‘alayhi wa sallam, mengukuhkan agama, membela Islām, mengumpulkan segala raja Masyrik Maghrib, menjadi khalifah Allāh, berbuat ibadat, melaksanakan amalan secara baik-baik, jangan menukar agama dengan dunia, menuntut ilmu, membangunkan masjid, mengukuhkan akhlak dan mengikuti ṭareqat. Sila rujuk Tatiana Denisova, Refleksi Historiografi, 154. Adapun kajian ini, menambahkan lagi beberapa kriteria raja adil, selain daripada yang telah dikaji oleh beliau.

[87]   Teks aseli Muqaddimah fī  Intiẓām berbunyi : “Adapun alamāt raja yang ẓālim itu anak dengan bapanya berbunuh-bunuhan, inilah alamat yang besar seperkara lagi pula apabila isi negeri berseteru setengah daripada setengahnya”

[88] “…raja itu fa‘ālun limā yurīd atau fa‘ālun limā yashā ya‘nī berbuat barang sekehendaknya….” (Bab 1 fasal 2,  9-10)

[89]   Bahagian ini akan didedahkan secara lebih dalam pada bab IV

[90] “Apabila terpelihara kuping,

khabar yang jahat tiadalah damping”

“Apabila kita kurang siasat,

itulah tanda pekerjaan hendak sesat”

“Apabila mendengar akan khabar,

menerimanya itu hendaklah sabar”

“Apabila menengar akan aduan,

membicarakannya itu hendaklah cemburuan”

[91]   Ertinya:”Hai orang-orang yang beriman hendaklah kamu menjadi orang-orang yang selalu menegakkan(kebenaran) karena Allāh, menjadi saksi dengan adil. ḍan janganlah sekali-kali kebencianmu terhadap sesuatu kaum, mendorong kamu untuk berbuat tidak adil. Berbuat adillah, karena adil itu lebih dekat kepada takwa. Dan bertakwalah kepada Allāh, sesungguhnya Allāh Maha mengetahui apa yang kamu kerjakan”

[92]   Lihat Anwar Haryono, Hukum, Kekuasaan dan Keadilan, 16-17

[93]   Sebagaimana firman-Nya dalam surah al-Balad (91:10): “Dan Kami telah menunjukkan kepadanya dua jalan (kebajikan dan kejahatan) dan dalam surah al-Shams (91:8) : “Maka Dia mengilhamkan kepadanya (jalan) kejahatan dan ketaqwaannya.”

[94]   Amiur Nuruddin, Keadilan dalam al-Quran,18.

[95]   Thamarat al-Muhimmah, Bab 3, Fasal 1, 63 :“Adapun rūḥ dan hati memerintahkan segala anggota yang ẓāhir itu, hal keadaannya jism latif, ya‘nī  jisim yang halus yang tiada didapat oleh pancaindera yang ẓāhir dan menerima ia akan penyakit yang bāṭin dan tiada didapat diubatkan dengan ubat yang ẓāhir, dan seperti dipegang dan dijabat akan tetapi menerima pula ia ubat yang laṭīf yang halus-halus akan lagi datang sebutnya. Intaha. Bermula pada pihak memeliharakan roh dan memeliharakan hati dan nafsu itu, fardhu, kerana jika sakit segala yang tersebut itu, membawa kepada membinasakan anggota yang zahir”

[96]   Untuk mengetahui perbezaan makna dari nama-nama jisim latīf ini, sila rujuk Ihyā’‘Ulūm al-Dīn, vol.4, Bab Keajaiban Hati, 5

[97]   Fasal 4 Gurindam Dua Belas tersebut berbunyi :

“ Hati itu kerajaan di dalam tubuh,

Jikalau zalim segala anggota rubuh”

[98]   Thamarat al-Muhimmah, Bab 3, Fasal 1, 63

[99]   Thamarat al-Muhimmah, Khatimah, 78-111

[100] Sebelum kedatangan Islām, kedudukan wanita misalnya, amat dibezakan dengan lelaki. Dalam masyarakat Romawi yang konon berperadaban tinggi, kedudukan wanita teramat rendah. Jika ia menikah, seluruh harta kekayaan termasuk dirinya, berpindah tangan kepada suaminya. Sebagai isteri juga, ia boleh diperjualbelikan oleh suami sebagaimana budak belian. Bahkan di kalangan masyarakat Eropah, kedudukan dan kepemilikan harta wanita belum sepenuhnya diiktiraf sebelum akhir kurun ke-19, iaitu tahun 1882 apabila kerajaan Inggeris melakukan amandemen terhadap peraturan kepemilikan harta kekayaan wanita. Sila rujuk Jamal A.Badawi,The Status of Woman in Islam (Riyadh: Maktabah Raudhal al-Muhibbin, 2008), 5

[101]  Muḥammad Abu Zahrah, Tandhim al-Islām li al-Mujtama’, diterjemahkan ke dalam Bahasa Indonesia oleh Shodiq Noor Rahmat (Jakarta: PT Pustaka Firdaus, 1994), 27

[102] Madjid Khadduri, The Islamic Conception of Justice, 19

[103] Ibid..

[104] Ibid,23

[105]  Dalam Yusuf al-Qaradhawy, al-Dīn wa al-Siyasah:Ta’sīlun wa Raddu Shubuhat, diterjemahkan ke dalam Bahasa Melayu oleh Ibnu Sham menjadi Agama dan Politik: Wawasan Ideal dan Menyanggah Kekeliruan Pemikiran Sekular-Liberal(Kuala Lumpur: Alam Raya Enterprise, 2007), 33

[106] Sebagaimana dikutip Yusuf al-Qaradhawy dalam Agama dan Politik, 34

[107] Khalid bin Ali bin Muḥammad al-Anbary, Sistem Politik Islam, 2

[108] Sebagaimana tersurat dalam surat al-An’am (6:165). Lihat juga Anwar Harjono, Hukum,          Kekuasaan dan Keadilan , 20

[109]  Ibid..

[110]  Lihat bahagian Muqaddimah Thamarat al-Muhimmah, 6

[111] Bahagian ini akan dibahas secara lebih terperinci pada Bab 4 yang mengulas penerapan atau pengamalan keadilan Raja‘Alī Ḥāji di Kerajaan Riau-Lingga pada kurun ke-19

[112] Madjid Khadduri, The Islamic Conception of Justice, 175.

[113] Sulhani Hermawan dalam “Tinjauan Keadilan Sosial terhadap Hukum Tata Pangan                 Indonesia”, Jurnal Mimbar Hukum 24:3(2012), 490-501

[114] Lihat surah al-Jumu‘ah(62: 9)

[115] Samiul Hasan, Philanthropy and Social Justice in Islam: Priciples, Prospects and Practises (Kuala Lumpur: AS.Noordeen, 2007), 50

[116]  Lihat firman Allāh surah al-Zukhruf, (43:32). Seterusnya, pandangan al-Qur’ān mengenai realiti tentang kekalnya keberadaan orang miskin dan kaya dalam struktur masyarakat, berupaya untuk ditentang oleh para penganut fahaman sosialisme-marxisme. Kedua fahaman yang berasaskan materialisme dalam kerangka teori konflik, sentiasa mempertembungkan golongan yang berpunya(the have) dengan yang tidak berpunya(the have not), serta menganjurkan golongan yang tak berpunya ini untuk melakukan revolusi sosial agar tercipta suatu masyarakat tanpa kelas (classless society). Lihat Stephen Sanderson, Macrosociology: An Introduction to Human Societies(New York: HarperCollins College Publications, 1991), 293